Tuesday, March 9, 2010

BEBAN TUGAS GURU

Hurmm..artikel ni aku jumpe masa carik bahan nak uat kajian tindakan..cam menarik jew bile aku baca..

..so harap2 la kerjaya guru ni tak dipandang rendah becoz all this thing....


i love to be a teacher..

jom p tgok wayang..ngeh..ngeh..ngeh



http://pengajianam900.forumotion.com/isu-isu-sosial-f6/beban-tugas-guru-t297.htm

Beban Tugas Guru
CikguPA on Tue Sep 29, 2009 6:21 pm


Tugas tambahan jejas keupayaan guru

Oleh Azrul Affandi Sobry

Penambahan jawatan staf sokongan amat penting untuk beri fokus tugas mengajar AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka.



Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan. Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.



Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti – 'sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'.

Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.

Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.



Justeru, tak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer. Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya.

Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera. Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah. Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG).



Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab. Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal. Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.



Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data. "Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain. "Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.



"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya. Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar.



"Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu. Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka.



"Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya. Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini.

Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.
CikguPA
Posts: 330Join date: 2008-11-26Age: 41Location: bbb







Guru SK dibebani tugas kerani

PELBAGAI pihak menyalahkan guru sekolah Kebangsaan (SK) kerana dikatakan gagal mendidik pelajar jika dibandingkan dengan guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang kononnya cemerlang.

Lantaran itu ada pihak yang mencadangkan agar guru SK dihantar mengikuti kelas pembelajaran Matematik dan Sains di SJKC terpilih. Malah ada pertubuhan perguruan mempertikaikan komitmen guru SK dalam mendidik pelajar dan menuduh guru SK kurang memberikan latihan kepada pelajar.

Semua pihak menghentam guru SK seolah-olah mereka inilah yang harus dipersalahkan dan mereka yang mengkritik pula telah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.Golongan ini langsung tidak melihat elemen-elemen lain yang menyebabkan prestasi SK merosot. Sedarkah mereka bahawa SJKC hanya mengambil pelajar Cina yang pintar sahaja untuk belajar di SJKC manakala lebihannya dihantar ke SK untuk didik oleh guru SK? Adilkah bebanan yang terpaksa ditanggung oleh guru SK? Golongan ini juga tidak sedar bahawa merekalah yang 'merosakkan' reputasi guru sebagai pendidik dengan membebankan guru SK dan SMK dengan tugas-tugas perkeranian yang semakin menimbun saban tahun.

Setiap pengetua dan guru besar pula menekan guru-guru untuk menyediakan pelbagai laporan yang boleh dibuktikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri agar membolehkan mereka layak mendapat jawatan Pengetua Cemerlang. Itu belum lagi tugas sebenar seorang guru iaitu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang 'terganggu' oleh keperluan jabatan-jabatan kerajaan lain seperti Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan banyak lagi.

Semua keperluan ini sepatutnya dilakukan oleh kakitangan bergelar kerani, bukannya guru kerana tugas sebenar seorang guru ialah terlibat dengan P&P. Namun semuanya itu dilonggokkan ke atas bahu para guru dengan alasan profesionalisme.

Semakin banyak kerja perkeranian dan perburuhan yang dilakukan maka semakin profesionallah guru tersebut.Sebenarnya banyak lagi aspek dan elemen yang boleh 'dikambinghitamkan' sebagai jawapan atas kegagalan pelajar di SK. Antaranya ialah sikap tidak bertanggungjawab dan tidak prihatin ibu bapa, kemiskinan, kurang pendedahan, persekitaran, kurang kemudahan dan sebagainya.

Namun semua itu akan dapat diatasi sekiranya profesionalisme perguruan dikembalikan ke jalan yang benar iaitu para guru 100 peratus melibatkan diri dengan P&P, bukannya sebagai kerani kaunter kutipan bayaran, kerani mengira kehadiran penonton di stadium, kerani statistik, kerani banci penduduk, kerani syarikat penyelenggaraan dan lain-lain yang langsung tidak berkaitan dengan P&P.

Jika golongan pensyarah di kolej-kolej dan universiti boleh menjalankan P&P mereka tanpa kerja-kerja yang tak berkaitan, mengapa guru-guru tidak?Menteri Pelajaran sebelum ini pernah membuat penyelidikan betapa banyaknya beban kerja guru. Malah beliau telah mengungkapkan "saya kasihan akan guru-guru saya" apabila hasil kajian beliau mendapati para guru 'diseksa' dengan kerja-kerja perkeranian yang melambak-lambak.

Namun setakat itu sahaja kerana dunia perguruan terus bercelaru dengan pelbagai beban kerja di luar P&P.Kerja-kerja perkeranian mengganggu P&P guru. Guru adalah manusia biasa yang mempunyai kemampuan berfikir dan bekerja yang terhad. Pengetua, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mahupun Kementerian Pelajaran Malaysia, masing-masing hanya mahukan satu laporan atau satu statistik sahaja daripada seorang guru tetapi guru tersebut perlu melakukan empat pekerjaan di luar bidang P&Pnya.

Alangkah bagusnya setiap tahun hanya satu kerja sahaja daripada empat pihak tersebut. Ironinya keadaan itu adalah mustahil!Janganlah salahkan guru semata-mata. Sistem pendidikan dan penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia wajar berlaku adil kepada seluruh guru. Berilah keadilan kepada guru-guru SK dan SMK, iaitu 100 peratus P&P dan tiada lagi 'guru kerani'. Insya-Allah pendidikan SK dan SMK akan terus gemilang.

NORHISYAM MOHAMADKota Sarang Semut, Kedah



2 comments:

mohad said...

info yang menarik

syila said...

thanks..just want to sahre..